Rabu, 12 September 2012
Kisah Salman al Farisi Mencari Kebenaran
Salman al-Farisi pada awal hidupnya adalah seorang bangsawan dari Persia yang menganut agama Majusi. Namun dia tidak merasa nyaman dengan agamanya. Pergolakan batin itulah yang mendorongnya untuk mencari agama yang dapat menentramkan hatinya.
Sabtu, 28 Juli 2012
SALMAN AL-FARISI DAN BANGSA PARSI DARI PERSPEKTIF PEMIKIRAN ISLAM
Abstracts
This article as the title indicates is to examine the life and
background of Salman al-Farisi and his position in Islam and especially
in the world of Persian people and nation within the Islamic Framework.
The discussion will also be focusing on the nation of Salman al-Farisi
and their contribution to the Islam and the world.
Introduksi:
Artikel ini bertujuan membincangkan persoalan dan isu bangsa Salman
al-Farisi yang berpaksikan Islam dan kedudukannya dari perspektif
Pemikiran Islam dengan perhatian ditumpukan kepada Salman al-Farisi yang
berjaya mencapai kecemerlangan, kegemilangan dan keterbilangan dalam
sejarah Islam kerana ciri-ciri keunggulan dan keunikannya yang
tersendiri. Dalam dunia globalisasi dan tanpa sempadan, kelihatan bangsa
Salman al-Farisi memperlihatkan dominasi pemikiran dan penghayatan
keislaman yang agak luarbiasa bagi menghadapi cabaran semasa daripada
kuasa-kuasa non-muslim. Kajian ini cuba melihat aspek-aspek keunikan
bangsa Salman al-Farisi hingga membolehkan bangsa tersebut berada pada
kedudukannya hari ini.
Salman al-Farisi – Latar belakang secara ringkas:
Salman al-Farisi yang terkenal dalam sejarah dan Pemikiran Islam,
dilahirkan dengan nama Parsinya, Mahbeh (Mayeh) atau Ruzbeh, merupakan
anak seorang dihqan dari sebuah perkampungan Parsi dikenali Jaiy @ Jian
atau Isfahan lama. Dilahirkan dalam keluarga beranutan Majusi, dan
menjadi salah seorang pengikut Majusi [Majus, dalam al-Qur’an]. Beliau
bertukar daripada Majusi kepada Kristian dan menetap di kota yang kini
dikenali Isfahan [Ispahan] pada sebahagian besar zaman remajanya.
Bapanya seorang yang berpengaruh dan kaya-raya. Dikatakan kerana
kecintaan yang keterlaluan kepadanya telah menyebabkan beliau dikunci
dalam rumah kerana kebimbangan tersebut. Beliau ditugaskan berkhidmat
kepada agama Majusi dengan menjaga api yang mereka sembah daripada
terpadam. Oleh kerana bapanya mempunyai tanah pertanian yang luas, dan
sibuk dengan pekerjaannya, Salman ditugaskan mengambilalih tugas
tersebut. Menerusi tugas ini, beliau berkenalan dengan agama Kristian
dan akhirnya menganutinya.
Salman al-Farisi telah melalui
proses pencarian akan hakikat kebenaran beberapa kali sebelum akhirnya
bertemu dengan Islam dan beriman dengan Din Nabi Muhammad (s.a.w).
Sepanjang menjadi penganut Kristian, beliau mengembara ke Syria, Mosul,
Nasibin dan ’Ammuriyah mengikuti tokoh-tokoh Paderi Kristian yang berada
di tempat tersebut. Tokoh paderi Kristian di `Ammuriyah memberitahunya
[sewaktu beliau berusia 12 tahun] supaya mengikuti nabi akhir zaman yang
dijanjikan, “yang merupakan pengikut Din Nabi Ibrahim (a.s).“
Dari Syria, beliau terus ke Wadi al-Qura untuk menemui nabi yang
dijanjikan. Namun dalam perjalanannya itu, beliau telah dikhianati oleh
puak Badwi Kalbi yang menjadi penunjuk arahnya dan akhirnya dijual
sebagai hamba kepada seorang Yahudi, yang kerap mengunjungi kota
Yathrib. Pada ketika beliau sampai ke sana, proses hijrah Nabi Muhammad
(s.a.w) bermula. Salman al-Farisi dengan berdasarkan beberapa petunjuk
dan tanda yang terdapat pada diri Nabi Muhammad (s.a.w) seperti
diceritakan, menganuti Islam dan kemudian dibebaskan hasil usaha Nabi
Muhammad (s.a.w) daripada perhambaan.
Salman al-Farisi
meninggal dunia pada tahun 33 @ 35/654 @ 656 dengan usia 88 tahun dalam
zaman pemerintahan Khalifah ‘Uthman bin ‘Affan.Beliau dikatakan
meninggalkan tiga orang anak perempuan, seorang di Isbahan dan dua orang
lagi di Mesir. Beliau dimaqamkan di Mada’in (dahulunya, Ctesiphon)
yang terletak di 'Iraq sekarang. Maqamnya diserang pada Februari 2006.
Salman al-Farisi dan hubungannya dengan Nabi Muhammad (s.a.w):
Salman al-Farisi dikatakan cukup mengenali ciri-ciri kenabian Muhammad
(s.a.w) menerusi maklumat yang diterima daripada para rahib Kristian
yang diikutinya sebelum menganuti Islam. Beliau telah dibebaskan oleh
Nabi Muhammad (s.a.w) daripada perhambaan menerusi penebusan diri
daripada seorang Yahudi.
Beliau menjadi salah seorang sahabat
besar Nabi Muhammad (s.a.w) yang paling terkemuka, zahid, mempunyai
hubungan yang sangat akrab dan kedudukan yang sangat tinggi di sisi
baginda (s.a.w), meriwayatkan 60 buah hadith Nabi (s.a.w), pernah
disaudarakan oleh Nabi Muhammad (s.a.w) dengan Abu al-Darda' al-Ansari
dan dikatakan pernah mendapat peluang melihat dan mencium tanda [khatm
al-nubuwwah] pada bahagian belakang Nabi Muhammad (s.a.w).
Salman al-Farisi dan hubungannya dengan ‘Ali bin Abi Talib (kw):
Salman al-Farisi mempunyai sahsiah dan peribadi yang cemerlang,
gemilang dan terbilang di kalangan sahabat Rasulullah (s.a.w). Beliau
berperibadi merendah diri, tegas dan adil; dikatakan tidak mempunyai
rumah sendiri sebaliknya beristirehat di bawah pokok; menerusi
pemerhatiannya yang tajam terhadap fenomena kehidupan manusia di
sekitarnya membolehkan beliau mengeluarkan kenyataan yang mengatakan
bahawa “beliau terkejut melihat orang ramai menghabiskan kehidupan
mereka untuk keduniaan, tanpa mengingati kematian.“
Beliau
juga merupakan salah seorang daripada empat sahabat utama 'Ali bin Abi
Talib (kw) yang kemudian dikenali dalam sumber-sumber Islam sebagai
Syiah ’Ali selain daripada al-Miqdad bin al-Aswad al-Kindi, ‘Ammar bin
Yasir dan Abu Dhar al-Ghiffari. Beliau menyokong dan mendokong Ahl
al-Bayt sepanjang sejarah hidupnya dari mula hingga akhir hayatnya,
menyokong dan sentiasa bersama-sama Nabi (s.a.w) dan Ali bin Abi Talib
(k.w) sepanjang kehidupannya sehingga beliau (r.a) meninggal pada zaman
Khalifah 'Uthman bin ’Affan (r.a), menyokong, mempertahankan dan
memperkasakan konsep kebenaran, keadilan dan kesaksamaan dalam
masyarakat muslim dan serentak dengan itu, menentang dan memerangi
sebarang bentuk penindasan, kezaliman dan kemungkaran dalam masyarakat
muslim.
Sejarah memperlihatkan bahawa beliau pernah memegang
beberapa jawatan pemerintahan di beberapa buah kota semasa era Khulafa'
al-Rasyidin, pernah memimpin tentera seramai 30 000 orang semasa menjadi
gabenor kota Parsi.
Salman al-Farisi dari segi keunikan dan keunggulannya sepanjang sejarah:
Salman al-Farisi menganuti Islam pada tahun 1/623, sewaktu Islam mulai
berkembang ke luar Jazirah al-Arab, merupakan mawla Rasulullah (s.a.w)
dan terkenal di kalangan sahabat Nabi Muhammad (s.a.w) sebagai Abu
Abdullah. Beliau dikatakan salah seorang yang dikehendaki untuk
dicintai oleh Allah (s.w.t) selain daripada ’Ali bin Abi Talib, Abu Dhar
al-Ghiffari dan al-Miqdad bin al-Aswad al-Kindi, bahkan merupakan
salah seorang yang diinginkan syurga selain daripada Ali, Miqdad dan
Ammar. Dikatakan orang pertama menterjemahkan al-Qur'an ke dalam bahasa
Parsi dan termasuk salah seorang yang dirujuk dan disebut oleh
al-Qur’an sebagai “illa al-ladhina amanu..[yang beriman @ mu’min]“
dengan keimanan yang sangat kuat.
Salman al-Farisi
disebutkan oleh Rasulullah (s.a.w) dalam beberapa buah hadith sebagai
”Salman minna Ahl al-Bayt.” Ini disebabkan peristiwa berkaitan dengan
Perang al-Khandaq [al-Ahzab] membabitkan Salman al-Farisi yang dianggap
seorang yang kuat telah menjadi rebutan dua puak yang menginginkan
beliau menjadi sebahagian daripada golongan mereka, iaitu al-Muhajirin
dan al-Ansar, sehingga akhirnya memerlukan Rasulullah (s.a.w)
campurtangan dan mengeluarkan hadith tersebut dan menganggapkannya
sebagai salah seorang Al al-Bayt [kaum kerabat Rasulullah (s.a.w)]. Ali
bin Abi Talib (k.w) sendiri turut mengatakan bahawa “huwa minna Ahl
al-Bayt“ [dia sebahagian daripada kami Ahl al-Bayt]. Justeru, Salman
al-Farisi juga turut dikenali sebagai Salman al-Muhammadi.
Salman al-Farisi menjadi sumber kekuatan dan sumber inspirasi golongan
muslim mu’min berbangsa Parsi dahulu, kini dan akan datang kerana
keilmuan yang tinggi dan mendalam dan juga disebabkan beliau mempunyai
kesempatan dan peluang berada bersama-sama dengan Rasulullah (s.a.w)
dalam majlis baginda (s.a.w) pada sebelah malam, sehingga dirinya
disebut dengan perkataan “bahr al-‘ilm” [lautan ilmu] dan “makhsus bi
al-‘ilm al-awwal wa al-akhir” [teristimewa dengan keilmuan golongan
terdahulu dan terkemudian] dan disenaraikan sebagai ‘ulama’ kerana
beliau daripada Ahl al-Bayt. Justeru, Salman berpengaruh besar dalam
konteks Pemikiran Islam:
• Dalam konteks mencari kebenaran
agama yang hakiki, pada awalnya beragama Majusi, kemudian beragama
Kristian dan akhirnya beragama Islam.
• Dari segi keilmuan,
mempunyai pengetahuan mendalam tentang agama menerusi proses pengkajian,
pendalaman, perbahasan dan penghujahan.
• Dari segi sains, beliau
berkepakaran dalam bidang sains dan teknologi khususnya kejuruteraan
menerusi ide penggalian parit di sekeliling kota Madinah sebagai suatu
strategi peperangan dalam perang al-Khandak [al-Ahzab] yang belum pernah
diketahui masyarakat muslim Madinah tetapi mendapat perakuan Rasulullah
(s.a.w) yang bersifat bijaksana (al-fatanah).
• Dari segi pemikiran
dan keintelektualan, bercitra ingin mengetahui hakikat sesuatu
kebenaran sehingga sampai ke suatu tahap yang tidak berbelah bahagi,
sentiasa berfikiran positif dan berpandangan jauh.
• Dari segi
keberanian dan perjuangan, bersemangat tinggi dan berwawasan jauh dalam
mempertahankan sesuatu keyakinan sehingga sanggup memperagakan dan
mempertaruhkan jiwa, nyawa, harta, keluarga dan segala-galanya.
Bangsa Salman al-Farisi dari beberapa perspektif:
Artikel ini akan cuba membincangkan kedudukan bangsa Salman al-Farisi
secara khusus selepas penguasaan dan penawanan Islam ke atas Parsi.
Parsi – Latar belakang secara ringkas:
Di kalangan pengkaji nasab (keturunan) yang membincangkan persoalan
asal-usul Faris [فارس] , terdapat beberapa pendapat dikemukakan, di
antaranya seperti berikut:
1. Mereka berketurunan Jyumart iaitu
Adam [جيومرت]. Dalam sumber lain dikatakan Faris al-Kubra ibn
Kyumart[فارس الكبرى ابن كيومرت] yang merujuk kepada Jyumart bin Amim
bin Lawadh [جيومرت بن اميم بن لاوذ].
2. Mereka berketurunan Yafith bin Nuh [يافث بن نوح] atau Faris bin Jabir bin Yafith bin Nuh [فارس بن جابر بن يافث بن نوح]
3. Mereka berketurunan Lawi bin Sam bin Nuh [لاوي بن سام بن نوح] atau Lawadh bin Sam bin Nuh[لاوذ بن سام بن نوح]
4. Mereka berketurunan Faris ibn Yasur bin Sam bin Nuh [فارس بن ياسور(ناسور) بن سام بن نوح]
5. Mereka berketurunan Hadram (Ram) bin Arfakhsyd bin Sam bin Nuh [هدرام (رام) بن ارفخشد بن سام]
6. Mereka berketurunan Yusuf bin Ya‘qub ibn Ishaq bin Ibrahim [يوسف بن يعقوب بن اسحاق بن ابراهيم]
Kelihatan bangsa Parsi [Farsi] berasal daripada keturunan Nabi Nuh
(a.s) menerusi anaknya, Sam. Sam merupakan punca silsilah keturunan
pelbagai bangsa besar di dunia seperti Arab, Parsi dan bahkan Yahudi.
Penamaan bangsa Samit dan yang berkaitan dengannya [seperti Semitik dll]
berhubung secara langsung dan tidak langsung dengan Sam bin Nuh.
Analisis ini memperlihatkan Arab, Parsi dan Yahudi berasal daripada
asal-usul dan keturunan yang sama.
Dalam konteks perbincangan
mengenai keturunan Farsi @ Parsi ini, dikatakan bahawa bangsa Parsi ini
merupakan suatu bangsa yang berani. Berikut adalah sejarah ringkas
perkembangan bangsa ini secara ringkas:
Mereka dikatakan pada
peringkat awal mengikut agama Nuh (a.s) [دين نوح] sehingga sampai kepada
zaman Burdasif [برداسف المشرقي] kemudian mereka menganuti mazhab
al-Hunafa’ [بمذهب الحنفاء] merujuk kepada agama al-Sabi’ah [دين الصابئة]
dikenali sebagai al-Sabi’un [الصابئون] pada zaman Tamhurath [طمهورث] @
Tahmuras III [طهمورس] selama hampir 1200 tahun, seterusnya mengikuti
agama Majusi menerusi usaha, peranan dan kemunculan Zaradusyt [زرادشت]
pada zaman Raja Parsi, Bustasif [بستاسف] yang berlangsung selama 30
tahun yang menyeru (mereka) kepada agama Majusi [دين المجوسية].
Mereka meninggalkan Din al-Sabi’ah [دين الصابئة] dan mengikut Zaradusyt
yang diakui sebagai nabi yang diutuskan kepada mereka selama hampir
1000 tahun. Mereka berada dalam agama tersebut sehingga sampai ke zaman
Khulafa’ al-Rasyidin yang ketiga, Sayyidina ‘Uthman ibn ‘Affan.
Bangsa Salman al-Farisi Dari Perspektif Al-Qur’an:
Dalam al-Qur’an, persoalan bangsa Salman al-Farisi telah dikemukakan
para mufassir khususnya berkaitan dengan surah al-Jumu’ah (62), ayat
ke-3:
وآخرين منهم لما يلحقوا بهم وهو العزيز الحكيم
“Dan (juga) kepada kaum yang lain daripada mereka yang belum berhubungan
dengan mereka. Dan Dia-lah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”
Dari segi asbab al-nuzul (sebab penurunan ayat) dan tafsirannya
dikatakan bahawa ia berhubungan dengan suatu peristiwa yang
diriwayatkan oleh Abu Hurairah (r.a) dan juga Abu Ja’far (r.a) tentang
suatu pertanyaan yang dikemukakan oleh seseorang kepada Nabi Muhammad
(s.a.w) mengenai “kaum yang lain“ yang dimaksudkan, lalu Nabi (s.a.w)
menerangkannya dalam sabda baginda (s.a.w):
و جماعة عن ابي
هريره قال : كنا جلوسا عند النبي (ص)حين انزلت سورة الجمعة فتلاها فلما
بلغ (وآخرين منهم لما يلحقوا بهم) قالله رجل: يا رسول الله من هؤلاء
الذين لم يلحقوا بنا؟ فوضع يده على سلمان الفارسي (رض) ، و قال: ((والذي
نفسي بيده لو كان الايمان بالثريا، لناله رجال من هؤلأء)) فانه صلي الله
تعالى عليه وسلم اشار بذلك الى انهم فارس.
“[Demi Tuhan dengan
diriku ini di tangan-Nya] sekiranya Iman (al-Iman) berada di (bintang)
Thurayya, kaum lelaki daripada golongan ini tentu dapat mencapainya,
maka Nabi (SAW) memperlihatkan bahawa mereka merupakan bangsa Farsi
[Faris].”
Bangsa Salman al-Farisi Dari Perspektif Al-Hadith:
1. Bangsa Salman al-Farisi dan hubungannya dengan al-Din al-Islami:
Nabi Muhammad (s.a.w) dalam beberapa buah hadith menghubungkan
persoalan kelebihan bangsa Parsi [باب فضل فارس] dan Salman al-Farisi
kepada al-Din al-Islami seperti berikut:
قال رسول الله (ص) ((لو كان الدين عند الثريا لذهب به رجل من فارس - او قال - من ابناء فارس حتى يتناوله ))
Rasulullah (s.a.w) bersabda: “Sekiranya al-Din berada di (bintang)
Thurayya, kaum lelaki daripada golongan ini tentu dapat mencapainya,
atau – daripada keturunan Faris sehingga mereka berjaya mencapainya.”
2. Bangsa Salman al-Farisi dan hubungannya dengan al-Iman:
عن ابي هريره قال: كنا جلوسا عند النبي (ص) اذ فانزلت عليه سورة الجمعة
وآخرين منهم لما يلحقوا بهم قال قلت : من هم يا رسول الله؟ فلم يراجعه
حتى ساله ثلاثا و فينا سلمان الفارسي وضع رسول الله (ص) يده على سلمان
ثم قال ((لو كان الايمان عند الثريا، لناله رجال او رجل من هؤلأء)) ((لناله
رجال من هؤلاء)).
عن ابي هريره قال: كنا جلوسا عند النبي (ص) اذ نزلت
عليه سورة الجمعة فلما قرا: وآخرين منهم لما يلحقوا بهم [الجمعة] قال
رجل: من هؤلاء؟ يا رسول الله ! فلم يراجعه النبي (ص) حتى ساله مرة او مرتين
او ثلاثا قال و فينا سلمان الفارسي. قال فوضع النبي (ص) يده على سلمان،
ثم قال ((لو كان الايمان عند الثريا، لناله رجال من هؤلأء)).
Rasulullah (s.a.w) bersabda: “Sekiranya al-Iman berada di (bintang)
Thurayya, lelaki atau beberapa orang lelaki daripada golongan mereka
tentu dapat mencapainya.”
3. Bangsa Salman al-Farisi dan hubungannya dengan al-’Ilm:
((والذي نفسي بيده لو كان العلم بالثريا، لناله رجال من هؤلأء))
Rasulullah (s.a.w) bersabda: “Demi diriku yang berada di tangan-Nya,
sekiranya al-‘Ilm [Ilmu] berada di (bintang) Thurayya, lelaki daripada
golongan mereka tentu dapat mencapainya.”
Bangsa Salman al-Farisi dari konteks keunikan dan kedinamikan:
Dari segi keunikan dan kedinamikan bangsa atau keturunan Parsi [ابناء
فارس] berdasarkan kepada hadith Nabi Muhammad (s.a.w), penelitian dan
tumpuan akan diberikan kepada beberapa aspek berikut sebagai landasan
untuk memahami kejayaan dan kegemilangan bangsa Salman al-Farisi dalam
dunia kini, di antaranya:
• Keislaman:
• Keilmuan:
• Kepimpinan:
• Ketaatan:
• Keberanian:
• Ketamadunan:
• Bangsa Salman al-Farisi dan signifikannya kepada Dunia Islam kini:
Keislaman:
Bangsa Salman al-Farisi selepas menganuti Islam, menghayati dan
mengamali Islam dalam kehidupan mereka dengan sepenuhnya. Mereka
membentuk jati diri, kekuatan fizikal, mental dan spiritual berasaskan
Islam. Mereka tertarik kepada Islam kerana sikap Rasulullah (s.a.w)
terhadap Salman al-Farisi itu sendiri, membebaskan Salman al-Farisi
daripada perhambaan, meletakkan bangsa Salman al-Farisi [yang merupakan
salah satu bangsa Ajam (bukan Arab)] setaraf dengan bangsa-bangsa lain
khususnya bangsa Arab yang begitu fanatik kepada bangsa mereka pada
zaman itu.
Bangsa Salman al-Farisi gemar bertanya dan
mempersoalkan sesuatu, yang apabila diyakini sesuatu kebenaran agama
itu, mereka akan menerimanya dengan sukarela dan bukan secara paksaan
walaupun mereka pada asalnya mengikut agama Zoroaster [Majusi].
Bangsa Salman al-Farisi datang ke Madinah, memeluk Islam sama ada pada
zaman Nabi Muhammad (s.a.w) mahupun selepasnya dengan penuh ketaatan
kepada Nabi Muhammad (s.a.w). Mereka tertarik kepada Islam juga
disebabkan sikap dan sifat Ali bin Abi Talib (k.w):
• Bangsa yang
sejak dari zaman Nabi Muhammad (s.a.w) lagi telah memilih untuk
mengikuti Ali bin Abi Talib dengan penuh keyakinan menerusi kebenaran
Ali bin Abi Talib (k.w) berdasarkan perintah dan sikap Nabi Muhammad
(s.a.w) sendiri terhadap Ali bin Abi Talib (k.w).
• Bangsa yang
mengikuti Salman al-Farisi, yang menjejaki setiap langkah Ali bin Abi
Talib dan tidak pernah bertukar arah sepanjang hayatnya.
• Bangsa
yang mendokong kekuatan hujah yang mantap dan keyakinan yang tinggi
bahawa Ali bin Abi Talib (k.w) merupakan tokoh yang paling layak untuk
diikuti dan ditaati [selepas Nabi Muhammad (s.a.w)].
• Bangsa yang
takjub dengan layanan yang ditunjukkan Ali bin Abi Talib (k.w) kepada
kedua-dua orang puteri Kerajaan Parsi semasa mereka menjadi tawanan
perang, dan selepas memperolehi segala jawapannya, mereka memenuhkan
hati mereka dengan kecintaan dan penghormatan terhadap Ali bin Abi Talib
(k.w) dan kaum kerabatnya.
• Sejarah memperlihatkan bahawa ketika
para tawanan Mada’in (Tisfun) dibawa ke Madinah, Khalifah kedua, ’Umar
ibn al-Khattab memerintahkan semua tawanan wanita [termasuk dua orang
puteri Maharaja Parsi, Yazdjard] dijadikan hamba kaum muslim.
Bagaimanapun, Ali bin Abi Talib (k.w) tidak membenarkannya dan meminta
kedua-dua orang puteri [Maharaja Parsi] itu dikecualikan dan dimuliakan.
Kedua-duanya merupakan puteri Maharaja Yazdjard Iran, dan tidak boleh
dijadikan hamba. Khalifah bertanya langkah yang perlu diambil, Ali bin
Abi Talib (k.w) mencadangkan setiap seorang puteri itu dibenarkan secara
bebas memilih calon suami dari kalangan kaum muslim. Justeru, mereka
membuat pilihan sendiri. Shahr Zanan memilih Muhammad bin Abu Bakr (r.a)
sementara Shahr Banu memilih Husayn bin Ali (r.a), cucu Nabi Muhammad
(s.a.w). Shahr Zanan, isteri Muhammad bin Abu Bakr (r.a) telah
melahirkan anak lelaki, Qasim al-Faqih, yang merupakan bapa kepada Umm
Farwah yang menjadi ibu kepada Imam Ja’far bin Muhammad al-Sadiq (r.a)
[Imam ke-6 dalam madhhab Imamiyyah Ithna-Asyariah][Guru kepada empat
orang tokoh pengasas mazhab fiqh terkenal, Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah
iaitu Abu Hanifah al-Nu’man, Malik bin Anas, Muhammad bin Idris
al-Syafi’i dan Ahmad ibn Hanbal]. Shahr Banu pula melahirkan Imam Ali
bin al-Husayn Zayn al-Abidin.
Keilmuan:
Bangsa
Salman al-Farisi mempunyai para ulama yang ramai dan penguasaan
keilmuan dalam pelbagai bidang. Penglibatan dalam semua aspek keilmuan
berkaitan keagamaan, termasuk bidang Falsafah, Irfan, Sains, Teknologi
dan lain-lain, dengan semua cabang ilmu itu berteraskan Islam dan tidak
pernah dilihat terasing daripada Islam dalam versi tersebut. Bangsa
yang bersikap terbuka terhadap sains dan teknologi [Barat mahupun Timur]
dengan menganggapnya sebagai universal truth yang dijadikan asas dalam
pembentukan bangsa tersebut.
Kesannya, bangsa Salman al-Farisi
dalam era globalisasi dan dunia tanpa sempadan mempunyai keupayaan dan
kebolehan menguasai teknologi nuklear yang merupakan suatu “advantage”
khususnya di kalangan negara muslim selain Pakistan terhadap ancaman dan
gugatan kuasa non-muslim [Barat mahupun Timur]. Mereka telah pun
membuktikan keupayaan dan kebolehan mereka menguasainya dan
memperlihatkan sikap tidak bersedia membenarkan hak dan kejayaan itu
dirampas oleh non-muslim [Barat mahupun Timur] yang ingin membeku,
merampas dan menghapuskannya.
Kepimpinan:
Kepimpinan
para ulama tradisional dalam dunia moden dari semua aspek kehidupan.
Ketundukan dan kepatuhan kepada suatu sistem kepimpinan berasaskan “top –
down” dan bukannya berasaskan “bottom - up.”
Justeru,
kelihatan dalam konteks revolusi Iran 1979, gerakan dimulakan dari atas
mengarah ke bawah dan menggerakkannya sehingga mereka mencapai apa yang
mereka cita-citakan hari ini. Ia sama seperti yang dicadangkan oleh
salah seorang pemikir muslim terbesar pada abad mutakhir, Sayyid Jamal
al-Din al-Afghani. Revolusi ini dikatakan bersifat ketuhanan dan
bermatlamat membawa kebahagiaan kepada seluruh umat manusia dan secara
khusus muslim seluruh dunia Islam. Dengan kata-kata lain, revolusi Iran
dianggap Revolusi Islam kerana ia berasaskan pemikiran dan semangat
Islam.
Tradisi kepimpinan yang kuat membolehkan mereka
berpengaruh dalam kepimpinan dunia Islam dan kaum muslimin sejagat dalam
OIC dan badan-badan dunia berkaitan dunia Islam.
Ketaatan:
Sistem ketaatan yang unik dalam Islam, lanjutan daripada sistem
ketaatan kepada al-Imamah dan al-Khilafah dalam tradisi kepimpinan dan
hierarki keilmuan mereka, diturunkan kepada konsep dan sistem ketaatan
kepada konsep Marja’ al-Taqlid dan Wilayah al-Faqih dan seumpamanya.
Wali al-Faqih merujuk kepada autoriti perundangan tertinggi, manakala
Wilayah al-Faqih berperanan sebagai institusi yang merentasi ketiga-tiga
kuasa tertinggi dalam negara atau kerajaan. Ia merupakan autoriti
spiritual [sebelum kemunculan Imam yang tersembunyi yang akan muncul
pada akhir zaman bagi membawa keadilan kepada dunia].
Kewujudan majlis ulama tertinggi sebagai badan tertinggi untuk menangani
isu-isu peringkat tertinggi melibatkan polisi negara dan survivalnya.
Dalam kepimpinan di peringkat kementerian, budaya “check and balance”
dilaksanakan dengan seorang alim besar ditempatkan untuk memantau dan
memastikan halatuju yang betul diikuti.
Para ulama akur dan
patuh kepada kepimpinan ulama tertinggi. Bangsa Salman al-Farisi
merupakan warga dan rakyat yang akur, taat dan patuh kepada para ulama.
Sebarang keputusan yang diputuskan diterima tanpa berbelah bahagi dan
mereka komited dengan keputusan yang dibuat. Kelihatan konsep ulama
seperti disebutkan dalam al-Qur’an dan al-Hadith, iaitu “انما يخشى الله
من عباده العلماء” dan “العلماء ورثة الانبياء” dipraktikkan dan
diimplementasikan dalam realiti.
Keberanian:
Keberanian mempertahankan kebenaran seperti Salman al-Farisi dengan
penuh keyakinan dan ketaatan, mempertahankan kebenaran dengan segala
keberaniannya dan sejarah membuktikan bahawa beliau tetap bersama-sama
al-Qur’an dan kebenaran sepanjang hidupnya. Bangsa Salman al-Farisi hari
ini memiliki sifat dan sikap tidak bertolak ansur dalam urusan
membabitkan kebenaran dan kebatilan dan juga dalam isu-isu sensitif yang
melibatkan kepentingan Islam. Bangsa yang berusaha untuk “liberate”
rakan-rakan non-muslim mereka dalam masyarakat Barat daripada
kesalahfahaman dan propaganda palsu terhadap Islam sebagai agama dan
sistem kehidupan:
• Pada zaman Nabi (s.a.w), beberapa pucuk surat
diutuskan kepada tokoh berikut untuk memperkenalkan dan mengajak mereka
kepada Islam seperti kepada Maharaja Rom, Parsi dan Habsyah.
• Pada zaman moden pula, beberapa contoh seumpama itu diikuti dan ditunjukkan oleh bangsa Salman al-Farisi di antaranya:
• Surat Imam Khomeini kepada Presiden Russia, Mikhail Gorbachev mengajaknya mengenali Islam,
• Surat Presiden Iran, Ahmadinejad kepada Presiden Amerika Syarikat, George Bush dengan tujuan yang sama.
• Sepucuk surat oleh Shaykh Mohammad Hossein Kashef al-Gheta kepada
rakannya berbangsa Amerika, Garland Evans Hopkins [Vice-President of the
Friends of the Middle East] di Timur Tengah [sekitar tahun 1954].
Bangsa Salman dengan keberanian mengajak negara-negara muslim kembali
kepada Islam dan memperingatkan mereka tentang musuh-musuh Islam.
Contoh: Sepucuk surat kepada Mohammad Ali, Perdana Menteri Pakistan
bertarikh 20 Rajab 1373 mengandungi nasihat dan peringatan kepada
Pakistan sebagai sebuah bangsa yang dibentuk atas nama Islam dan
berada dalam naungan Islam serta kedudukan Amerika Syarikat sebagai
musuh Allah dan musuh Nabi (s.a.w)
Kashef al-Ghita menjelaskan
perselisihan yang berlaku di kalangan muslim, yang dianggap olehnya
sebagai kejahilan. Katanya: “Kita muslim sentiasa berangan-angan. Kita
mempunyai kata-kata yang bijaksana tetapi tanpa tindakan. Kita
menyelesaikan persoalan kulit tetapi bukan persoalan isi. Kita
memberikan perhatian yang keterlaluan kepada perkara cabang [furu’]
tetapi bukan kepada asas [usul]. Kita berlawanan dengan keturunan kita.
Mereka merupakan manusia yang bertindak dan dikurniai ketekunan dan
kegembiraan. Mereka lebih sensitif terhadap kebenaran dalam perbuatan
mereka berbanding dalam perkataan mereka. Mereka tegas dalam memenuhi
matlamat mereka tanpa bersusah payah. Menerusi penerimaan sifat baik dan
murni keturunan kita itulah orang lain telah mendahului kita. Pada masa
lepas, kita mendahului mereka, kini mereka mendahului kita pula.”
Bangsa yang berusaha untuk berdikari dan tidak mahu bergantung kepada
orang atau bangsa lain seperti kata-kata oleh Kashef al-Ghita sendiri:
“Today, all moslems, even the deaf and the dumb, are aware that in every
segment and in every corner of the Islamic lands exist serpents of
deception with their mouths wide open in order to swallow the earth and
everything on it. Is this situation itself not a good cause for muslim
unity? Is it not enough to inflame their pride and courage and determine
them to achieve their will? Is the intensity of their pain and hardship
not enough to motivate them to unite and wipe out their vendettas?”
Berhubung dengan isu tenaga nuklear, Ayatollah Khamenei menjelaskan
alasan pihak musuh khususnya musuh Islam untuk menghalanginya adalah
kerana “the gist of what enemies say is that the Iranian nation should
not have nuclear technology, since it will become strong, and they will
no longer be able to bully and intimidate it.” Seterusnya dikatakan: “If
today the Iranian nation does not possess and benefit from nuclear
technology, it will lag behind for several decades and in a not too far
future, it will have to beg for fuel from the aliens and enemies, who
will humiliate and trample on the honor and dignity of our nation if
they fulfill just a small part of its requirements.”
Ketamadunan:
Perbincangan mengenai tamadun dan ketamadun bangsa Salman al-Farisi
akan memerlukan suatu perbincangan yang berasingan kerana mereka
merupakan bangsa yang mengalami proses kebangkitan dan kejatuhan
pelbagai tamadun sepanjang zaman sehingga ke hari ini. Tamadun dan
ketamadun bangsa ini membolehkan mereka mempunyai pendedahan,
pengalaman dan pengaruh yang cukup besar dari segi kesan dan impaknya.
Perbandingan yang lebih jelas akan dapat dilihat sekiranya proses
perbandingan individu dan bangsa yang bertamadun dan individu dan bangsa
yang tidak bertamadun dilakukan. Bangsa yang mengalami pertembungan
budaya dan intelektual mempunyai corak dan bentuk pemikiran yang jauh
lebih terbuka, dinamik, progresif dan pro-aktif, manakala perkara yang
sebaliknya pula berlaku kepada bangsa yang tidak atau kurang bertamadun.
Dalam hal ini, bangsa Salman al-Farisi yang mempunyai
sejarah dan tamadun yang besar telah memperlihatkan kekuatan,
kewibawaan dan keunggulan dalam dunia ini. Mereka berjaya mengekalkan
tamadun dan ketamadunan mereka dan bahkan memperkasakannya sehingga
kini membolehkan mereka dikenali sebagai salah sebuah bangsa yang
dominan dan terkehadapan dalam dunia Islam, dan dunia bukan Islam
sendiri.
Konklusi:
Presiden Republik Islam Iran,
Mahmud Ahmadi-Nejad menyatakan bahawa bangsa Iran merupakan bangsa yang
suka berdamai dan bersahabat [a nation of "peace and friendship"] yang
selalu mendokong keamanan, ketenteraman dan keselamatan kepada semua
bangsa di dunia. Dikatakan bahawa untuk menjadi model dan contoh bangsa
dan masyarakat, bangsa Iran hendaklah mengamalkan disiplin, kesatuan,
kesetiakawan, bersatu, bekerjasama dan bekerja kuat dengan penuh
kebijaksanaan dan keberanian. Dengan demikian, tiada suatu kuasa akan
mampu menghalang laluan ketawhidan bangsa Iran. Hal yang sama telah
ditegaskan oleh pemimpin tertinggi Kerajaan Republik Islam Iran,
Ayatollah Seyyed Ali Khamenei yang menyatakan bahawa ”no nation will
achieve progress without striving, perseverance, innovation and
initiative.“
Langganan:
Postingan (Atom)

